Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander menegaskan mutu 
pendidikan Malaysia yang jatuh merudum lebih membimbangkan berbanding 
kedudukan kewangan negara.
 Pencapaian buruk Malaysia dalam keputusan Program Penilaian 
Antarabangsa Pelajar (Pisa) lalu bukan suatu petanda baik, kata 
Frederico.
 "Malaysia patutnya bimbang dengan tahap prestasi murid-murid dalam 
sekolah berbanding prestasi murid-murid di Vietnam kerana mereka lebih 
miskin daripada Malaysia tapi tahap pendidikan lebih baik berbanding 
Malays," kata Frederico dalam forum yang dianjurkan Unit Pengurusan 
Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) hari ini di Damansara.
Malaysia hanya berjaya berada di kedudukan ke-52 daripada 65 negara dalam ranking keputusan Pisa.
 Malah, Vietnam berada di tangga ke-17 dalam kajian itu dengan markah 
511 manakala Shanghai-China mendapat 613 untuk mendapat tempat pertama 
dalam ranking itu.
 "Murid-murid di kawasan pendalaman Vietnam, prestasi mereka lebih tinggi daripada murid-murid Malaysia.
 "Ini akan memberi kesan terhadap pembangunan aset sumber manusia Malaysia," kata pakar ekonomi kanan Bank Dunia itu.
 Frederico berkata pihak sekolah perlu diberikan lebih autonomi dan 
kuasa yang lebih untuk menangani masalah pembelajaran setempat.
 Pisa merupakan sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang
 dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and 
Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh 
dunia.
 Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.
 Pisa menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.
 Purata min skor ialah 494 dan kajian itu menguji 510,000 pelajar tahun 
lalu merangkumi tiga bahagian peperiksaan – matematik, sains dan 
keupayaan membaca. Malaysia memperolehi min skor 421.
 Pelajar Malaysia dikatakan mendapat pencapaian yang teruk dalam 
bahagian membaca dengan skor 398 (purata:496), bahagian matematik, 
Malaysia mendapat 421 (purata:494) dan sains, 420 (purata:501). – 25 
Mac, 2014.
 
 
 
No comments:
Post a Comment