Revolusi teknologi komunikasi melahirkan apa yang dianggap sebagai masyarakat yang pantas berubah (rapid changing society). Sebagai contoh, penggunaan telefon bimbit sudah menjadi barangan perlu. Kadar pemilikan telefon bimbit di negara ini mencatatkan peningkatan mendadak melebihi 100.1 peratus sejak tiga tahun lalu dengan penduduk memiliki sekurang-kurangnya dua alat komunikasi itu.
Dalam kita mengakui penggunaannya banyak memudahkan urusan kehidupan, ia juga menampilkan permasalahan dan cabaran tersendiri. Segala maklumat dalam telefon bimbit termasuk gambar, boleh mendedahkan keadaan kepada risiko termasuk krisis rumah tangga. Makin ramai personaliti dan bintang sukan terkemuka dunia terkantoi disebabkan SMS dan gambar yang tidak sepatutnya ada pada telefon mereka. Di Malaysia, senarionya sama. Makin banyak kes putus hubungan malah bercerai-berai selepas membaca SMS pasangan masing-masing, yang 'tidak sewajarnya' ada. Kes kecurangan dan kayu tiga lebih mudah terbongkar dengan adanya telefon bimbit. Sebab itu, wanita apatah lagi isteri semakin teruja untuk mengetahui apa yang terkandung dalam telefon suami mereka. Rahsia apa yang disorok? Ada beberapa kenalan sudah mengeluh kerana isteri mereka makin aktif memeriksa telefon. Awang bernasib baik kerana isteri Awang belum sampai ke tahap itu. Apa pun, bagi suami, tunangan dan teman lelaki yang tidak nakal, mereka tidak perlu gusar. Jangan ada dusta di antara kita, sebagaimana judul sebuah lagu, sepatutnya menjadi pegangan. Namun bagi yang nakal, jika terkantoi, terimalah padahnya. Pertanyaan Awang, di manakah kategori anda berada - nakal atau sebaliknya?
No comments:
Post a Comment