email dari seorang rakan singgah di mail box saya. di sini sy lampirkan utk dikongsi bersama pembaca semua.
***********************************************************************************
Allah Selamatkan Saya Ketika Derita
Duit RM1.00 di telapak tangan, saya genggam kemas. Untuk membeli
minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat
lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di
sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak.
Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang. "Apalah yang boleh dibuat
dengan duit ini...?" kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang
itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah
bersabar menahan sengsara.
Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil.
Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa
menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk
pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan
hanya mimpi semata-mata.
Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual
seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah
dan daif. "Jika ada duit, adik nak makan apa?" tanya wartawan wanita
itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.
"Roti canai..." jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang
menunduk malu.
Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak
mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula.
Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama
tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah. Tidur
untuk menahan lapar, saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang
tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar
kata hati lagi.
Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih
baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan
penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.
Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.
"Nah, kami teringat kat Azamin, saja beli nasi goreng lebih," kata
jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil
menghulurkan bungkusan makanan itu.
Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat.
Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam
itu...hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma. Benarlah
kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar
Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan
bercambah-cambah.
Itu kejadian pertama, lalu muncul pula kisah kedua, antara peristiwa
aneh daripada pengalaman hidup saya yang cukup sulit, perit dan sakit.
Keperitan dilalui sehingga pernah saya bekerja mencuci kereta, menjadi
pelayan di kedai makan, mencuci kasut orang, mengutip hutang seperti
'Ah Long', menjadi pengawal keselamatan dan 'house-keeping' di resort
dan aneka kerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota.
Pernah dua hari, saya sekadar meneguk air sejuk semata-mata lantaran
tiada wang untuk menjamu selera. Ada juga kalangan kawan-kawan yang
menawarkan 'kerja', namun saya tolak kerana menjadi 'pusher' dan jual
paket-paket ganja, jadi 'bouncer' di kelab malam dan upah 'menarik'
kereta mewah adalah kerja-kerja yang mengundang padah.
Saya rela berlapar daripada menempah bahaya dan memalukan ayah bonda.
Saya yakin, jika kita mengelak, Allah akan pasti membantu kita.
Seperti kisah, ketika saya bekerja di sebuah syarikat saham di Jalan
Raja Chulan, Kuala Lumpur. Pendapatan saya dikira agak boleh tahan
jika dicampur dengan kerja lebih masa sehingga subuh hari.
'Tak boleh sembahyang Jumaat!'
Saya bekerja di bahagian 'script processing' dan 'data entry'. Masa
itu, masih wujud sijil-sijil saham jenis kepingan kertas yang perlu
dikira satu persatu sehingga mencecah ribuan setiap hari.
Suatu hari, ketika saya pulang ke pejabat selepas mengerjakan solat
Jumaat kira-kira jam 2.45 petang, seorang pegawai muda menengking saya
dengan tidak semena-mena. "Kenapa baru balik? Pergi mana?" jerkahnya.
"Sembahyang. Hari inikan Jumaat," saya jelaskan dengan santun.
"Sembahyang banyak lama ka? Kawan-kawan awak pun tak sembahyang, lain
kali tak payah pergi sembahyang!" katanya tidak puas hati.
Ya, salah kawan-kawan saya juga yang sebilangannya jika hari Jumaat
akan 'solat' di Pertama Kompleks, Bukit Bintang dan mana-mana tempat
mereka lazim 'bersidai'.
"Apa?!! Tak payah sembahyang? Tak pa, sekarang juga saya berhenti!!!"
kata saya melawan sambil meninggalkan pegawai itu terkebil-kebil
sendiri. Kejadian itu disaksikan oleh ramai rakan-rakan saya, yang
juga tidak sembahayang.
Pada saya, rezeki milik Allah, dan bekerja mestilah diredhai oleh-Nya.
Alhamdullilah, saya menganggur hanya seminggu sahaja, apabila seorang
"Remiser" mengambil saya berkerja sebagai "Asistant" di syarikat yang
sama, dan saya berurusan dengan mamat pegawai ini dalam suasana yang
berbeza - bukan di bawah telunjuknya lagi.
Kembali kepada kisah ajaib yang berlaku kepada saya. Tetapi, bagi
Tuhan yang Maha Kuasa ianya, tidak mustahil boleh berlaku kepada
sesiapa yang Dia mahu. Yang pasti, pintalah.
Suatu malam, saya sudah tenggelam punca. Maklumlah wang saya sudah
habis. Bukan sebab berfoya-foya, membeli itu ini sesuka rasa tetapi
gaji yang diterima cukup-cukup makan saja. Lebih parah, esok untuk ke
tempat kerja, tambang bas pun tidak ada.
Untuk meminjam, saya sudah tidak sanggup menebalkan muka. Saya
hamparkan sejadah, solat sunat dua rakaat. Inilah antara pesan yang
ditinggalkan oleh ibu yang tercinta dan arwah guru saya. "Jika kau
susah sangat, solatlah dua rakaat dan pintalah pada Allah apa yang
dihajat," ingat mereka kepada saya.
Teresak-esak saya menangis. Tak tahu nak dikatakan apa lagi. Malu pada
Tuhan yang amat. Ada kala saya tidak mensyukuri nikmat. Saya tidak
tahu kemana lagi hendak dituju. Untuk bergantung kepada manusia, saya
sudah tidak mampu. Aib dan cukup-cukup malu!
Bak kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinan yang dilaluinya...
"Jikalau aku diam, aku akan lapar, jika aku bersuara untuk berhutang,
aku menambahkan malu di muka." Ya, begitulah juga dengan saya.. hanya
pada Allah saya berharap.
Seusai bermunajat, ambil sebuah Quran kecil milik saya untuk
membasahkan lidah dengan surah-surah kalimah Allah buat menenang jiwa
yang resah. Tatkala membuka helaian demi helaian Quran itu, tiba-tiba
terselit sekeping wang RM50.00 di situ.
Berjurai air mata saya, lantaran kesyukuran kerana Allah membantu saya
dengan cara yang tidak disangka-sangka...
Ini bukan kisah rekaan, malah saya percaya Allah juga pernah dan telah
membantu manusia-manusia di luar sana hatta pembaca dengan jalan
penyelesaian yang tidak diduga. Ada dengan cara fitrah manusia, ada
dengan cara logik akal, ada yang lambat, ada yang cepat dan ada yang
tidak dijangka-dijangka dan mustahil diterima waras manusia.. itulah
Allah, yang amat menyayangi hamba-Nya.
Yakinilah bantuan Allah SWT, sangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya
Allah SWT bersama hamba-Nya yang bersangka baik dan taat pada-Nya.
Seperti sebuah hadis Qudsi ertinya: Allah menyebut: "Aku berada di
atas sangkaan hamba-hambaKu."
Isteri menangis, anak tersenyum sehingga lena
Sekitar tahun 2002, Allah juga pernah 'menyelamatkan' saya pada suatu
malam ketika benar-benar kesempitan wang. Malam itu, susu anak sulung
saya habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan-kepingan syiling
saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis
makanan.
Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel
saya merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri saya
sudah tidak sanggup melihat keadaan itu. Saya dengan hati yang luluh,
lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya.
Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak
berwarna, tetapi berkaca sama seperti air mata ayah dan ibunya. Namun
tanpa banyak rengekkan, dia capai lalu menghisap botol tersebut.
Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang saya... Bimbang
benar jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat
meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak
duduknya keadaan saya, sehingga anak menjerit kelaparan.
Isteri saya juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si
sulung seterusnya. Saya bersabar menunggu detik itu... Sambil memegang
botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua seraya berkata
: "Mmm...sedap.." Dan dia mengukirkan senyuman paling manis di
wajahnya dan sudah cukup untuk 'mencarik-carikkan' nurani saya.
Aduhai, sebak terasa di dada. Isteri saya sudah tidak dapat menahan
sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu air suam
sehinggalah terlena..
Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya
atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan
manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan
kepada-Nya.
Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya
melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama 'universiti
terbaik' hidup kita selama ini. Dan setiap ujian yang diberikan,
adalah sesuai dengan kemampuan seseorang.
Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain
kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya. Begitu juga masalah
mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan
tidak upaya menahan bebannya.
Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti
firmannya: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan
kemampuannya;" (Al-Baqarah: 286)
Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani. Adakala hidup
ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak
keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan
kita.
Jika anda rasa, anda susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal
erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa.
Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur
ulaman di kaki longkang.
Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih
derita dan lara.
Jikalau anda rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat
daripada anda. Esok anda hebat, lusa mungkin anda merempat. Belum
tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup anda
sentiasa direstu dan dilindungi selalu.
Terus- terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang
mendatang, adakalanya saya juga 'frust' dan tewas. Kecewa umpama
'mati' sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya
padam dan kecundang.
Di sebalik tulis-tulisan saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja
saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun surat-surat pembaca
dan puluhan email yang saya terima, 'menghidupkan' saya semula.
Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang tuhan berikan. Kata seorang
tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak
itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada,
kerana dunia ini pinjaman semata-mata.
Ada pembaca yang menceriakan saya, ada yang lebih susah hidupnya dan
lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan
mengkritik saya. Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan
cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya
kecundang secara tiba-tiba.
Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih
kepada pembaca, peminat dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan
duka saya yang panjang...
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar
gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila
ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un"
(sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)."
(Al-Baqarah: 155-156).
No comments:
Post a Comment