Wednesday, May 06, 2009

Ibu pergi jua...



Ibu dan hubby kebiasaannya akan berbual2 tentang rutin harian masing2 di tempat kerja. Itu telah menjadi kebiasaan kami sejak dahulu lagi. 2,3 malam yang lepas ibu bertanyakan satu soalan kepada hubby yang membuat dia terkedu sebentar.

"Abang pernah terfikir tak..bagaimana hidup abang kalau ibu takde (meninggal)?"

Hubby terdiam bila ibu cakap macam tu..akhirnya dia balas.."Entahlah..abang tak pernah terfikir dan terbayang bagaimana kalau ibu takde..tak tahu macammana"

Muka hubby terus berubah dan tak bagi ibu cakap lagi.

Jadi, apa yang ibu baca hari ini sangat ibu mengerti erti kehilangan orang yang tersayang.


Kisah ini ibu ambil dari news HM pada hari ini, tulisan Rudy Fazrunisyam.

Begitu menyanyat hati dan menitiskan air mata tatkala membacanya. Empati pada anak kecil yang sudah mengerti ibunya sudah pergi meninggalkannya.

Kejam sungguh peragut yang tergamak membunuh ibu yang tidak berdosa. Senangnya lelaki yang kononnya gagah perkasa mencari rezeki dengan cara mudah..apa nak jadi dengan dunia zaman sekarang. Semoga si pembunuh mendapat balasan setimpal kerana membuat 2 anak kecil hilang kasih sayang seorang ibu dan menjadi yatim piatu.



JOHOR BAHRU: Bagai babak drama sedih, seorang anak mangsa ragut berusia tujuh tahun terpaksa dipeluk ibu saudara bagi menenangkan keadaan selepas beberapa kali bertanyakan ke mana ibunya pergi.

Puteri Norashikin Salleh tidak berhenti menangis apabila mengetahui ibu tercinta, Jamilah Selamat, 31, meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi semalam selepas 36 jam koma di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Dia gagal ditenangkan ahli keluarga dan saudara-mara yang berkumpul di luar bilik mayat HSA, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dapat ditenangkan apabila ibu saudaranya memeluk dan menyuruhnya menghadiahkan al-Fatihah buat bekalan ibu di alam barzakh.

Kenyataan hidup yang dihadapi Puteri Norashikin bersama adiknya, Mohd Khairi Ridwan, 5, begitu pahit kerana dia bukan saja kehilangan ibu tersayang, malah tidak sempat menimang adik selepas arwah disahkan mengandung lebih dua bulan.

Jamilah menemui ajal selepas bertarung nyawa lebih 36 jam dalam keadaan koma apabila terjatuh dari motosikal sebaik beg tangan dalam raga disentap peragut dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Ahad lalu, di Taman Air Hitam, Batu Pahat.

Difahamkan, ketika kejadian, Jamilah yang bekerja sebagai jurujual kedai kraftangan di pekan Ayer Hitam, baru membeli makanan dan barangan keperluan harian di sebuah pasar malam untuk dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Mekar, Taman Mekar, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Allahyarham terjatuh dari motosikalnya dengan muka terhentak jalan.

Seorang lelaki yang lalu di kawasan berkenaan melihat dua lelaki melarikan diri selepas meragut beg tangan mangsa.

Suami mangsa, iaitu bapa tiri Puteri Norashikin, Razali Ahmad, 41, berkata dia berkahwin dengan Jamilah selepas Aidilfitri kira-kira enam bulan lalu selepas isteri pertamanya meninggal dunia akibat kanser.

“Saya mempunyai dua anak berusia 17 dan 15 tahun hasil perkahwinan dengan isteri pertama, manakala arwah mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun,” kata peniaga makanan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap itu.

Katanya, kejadian ragut menyebabkan nyawa Jamilah melayang itu adalah yang kedua.

Pertengahan tahun lalu, arwah pernah diragut di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam ketika menunggang motosikal.

Dia kehilangan beg tangan yang juga diletakkan dalam raga.

Menurut Razali, berikutan kejadian itu, seorang rakan mengajar arwah untuk menyimpulkan tali beg tangan pada cermin sisi bagi mengelaknya mudah dilarikan peragut.

“Berdasarkan cerita rakan, motosikal arwah terseret beberapa meter, mungkin disebabkan sentapan kuat pada beg tangannya yang disimpulkan pada cermin sisi. Ini menyebabkan Jamilah gagal mengawal motosikal sebelum terjatuh,” katanya.

Razali berkata, arwah dibawa ke HSA dari Hospital Batu Pahat pada awal pagi Isnin lalu bagi menerima rawatan rapi, tetapi gagal diselamatkan akibat parah di kepala serta muka.

Jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Hiitam, petang semalam.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Fauziah Ahmad, 34, berkata dia mempunyai sebab untuk membenci dan berdendam dengan peragut.

“Jika saya mempunyai kuasa undang-undang, sudah pasti saya akan menjatuhkan hukuman paling berat termasuk hukuman mati kepada peragut. Mereka bukan saja pencuri, tetapi juga pembunuh,” katanya.

No comments: