Friday, October 24, 2008

Krisis ekonomi dan Islam

Aku ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai krisis ekonomi dan Islam yang ditulis oleh Saudara Zaharuddin Abd Rahman dalam Harian Metro.


AMERIKA SYARIKAT (AS) menghadapi kejatuhan ekonominya akibat sistem kapitalis. Apa sebenarnya yang berlaku dan apa kaitannya dengan riba?

Adakah jika sistem kewangan dan ekonomi Islam dilaksanakan, kita akan terselamat daripada malapetaka seperti ini?

Tulisan ini akan cuba mendedahkan isu ini dalam bentuk yang separa ilmiah, dengan kumpulan sasaran pembaca orang awam.

Isu ini kompleks kerana banyak menggunakan istilah kewangan dan perbankan, namun saya cuba segala untuk memberi faham.

Kegawatan bermula daripada kes pinjaman dan pensekuritian bon Subprima.



Fahami Subprime Mortgage

Subprime mortgage dalam bahasa Malaysia disebut ‘peluang kedua pinjaman’. Ia pinjaman diberi kepada sekumpulan pengguna miskin manakala sebahagian lainnya tidak menepati kriteria peminjam yang boleh diluluskan jika dilihat daripada piawaian sesebuah bank.

Ia disebut mempunyai ‘credit rating’ rendah. Mereka membabitkan pelbagai golongan, termasuk yang berpendapatan rendah, ada rekod gagal bayar hutang, spekulator yang tiada wang tetapi ingin membeli untuk tujuan pelaburan dan lain-lain lagi.

Mereka diberi peluang kedua untuk membuat pinjaman bukan atas dasar ingin membantu, tetapi kerana sifat tamak kapitalis.

Apabila pinjaman diberi kepada mereka yang berpotensi gagal membayar balik, risiko kegagalan membayar hutang yang dinamakan ‘event of default’ semakin tinggi. Semakin tinggi risiko, semakin tinggi kadar riba ‘interest’ dikenakan terhadap peminjam.

Menurut fakta, apabila lebih 100 syarikat yang memberi pinjaman jenis subprime seperti New Century Financial Corporation memfail bankrupsi akibat gagal memperoleh pulangan beserta riba yang dikehendakinya, kegawatan mula kelihatan.

Isu ini mula menggugat ekonomi Amerika mulai 2007 dan kesannya berterusan sehingga syarikat gergasi seperti Lehman Brothers, Merrill Lynch dan AIG rugi besar. Ia membawa kesan domino kepada syarikat yang ada ikatan dengan mereka.

Ia bermula apabila sektor perumahan di AS menjadi bubble. Erti bubble ialah bila nilai rumah meningkat sehingga tidak mampu lagi ditanggung penduduk.

Hasilnya, bilangan peminjam yang gagal atau ‘defaulters’ semakin tinggi. Keadaan ini merebak sehingga berlakunya krisis kegawatan pada Ogos 2007.

Apabila ini terjadi, nilai rumah tiba-tiba merudum pula sehingga banyak pihak yang membeli dan memegang rumah dan hartanah rugi dan ini memberi kesan kepada seluruh sektor kredit, perbankan dan ekonomi dunia.

Bank ditimpa Non Performing Loans (NPL) atau hutang tertunggak tinggi, selain memberi kerugian kepada seluruh sektor pembinaan, pembekal dan banyak lagi.



Cadangan ‘bail-out’

Presiden AS, George W Bush memperuntukkan ‘bail-out plan’ untuk membeli aset pinjaman tertunggak dan akan menjualnya semula untuk memperoleh keuntungan.

Namun ada pakar pelaburan menganggap lebih bijak jika kerajaan membiarkan sebahagian sekuriti tenat dan tertunggak ini dijual di pasaran terbuka.

Secara ringkasnya isunya adalah:

a. Dana untuk bail-out itu hasil cukai warga AS, jadi rakyat marah kerana duit mereka digunakan untuk menyelamatkan si kaya.

b. Kerajaan AS terpaksa mencetak lebih banyak wang dan ini akan meningkatkan kadar inflasi.

c. Ini juga bermakna semua peminjam di bank AS terpaksa mencari sumber wang lain untuk membayar hutang mereka disebabkan nilai matawang mereka menjadi kecil.

d. Hutang AS juga pasti akan meningkat tinggi, dijangka kepada AS$11.3 trilion berbanding AS$10.6 trilion sekarang.



Pensekuritian pinjaman Subprima dan pandangan Islam

Keadaan menjadi parah apabila pinjaman Subprime disekuritikan menjadi ‘Mortgage-backed Securities’ iaitu sijil boleh niaga disandar kepada sesuatu aset yang aliran tunainya datang daripada pembayaran pinjaman pokok dan interest bagi satu kelompok pinjaman perumahan.

Kemudian ia diniagakan dengan risiko berbeza mengikut tahapnya. Kelompok pinjaman itu daripada pinjaman subprime.

Apa erti sekuriti di sini? Ia satu proses mengumpul pinjaman ini dalam satu kumpulan (pool of portfolio), kemudian ditukar menjadi sebuah sijil pelaburan boleh niaga dinamakan bon atau sekuriti atau Mortgage Backed Securities. Ia instrumen pelaburan riba yang menjanjikan PULANGAN TETAP bagi mereka yang berminat membelinya.

Disebabkan tamak, pelabur kapitalis menjual bon yang disandar kepada pinjaman Subprime berisiko ini dan ia dibeli pelbagai pihak, termasuk bank pelaburan besar seperti Lehman Brothers.

Dalam perspektif Islam, ini dinamakan ‘debt trading’ atau menjual hutang. Ia difatwakan haram oleh Majlis Fiqh Sedunia dan Majlis Shariah Badan Perakauan dan Kewangan Islam Sedunia (AAOFI) iaitu apabila ia dijual lebih rendah daripada harga asal hutang (secara diskaun).

Untuk analogi mudah, David berhutang RM1 juta daripada Lingam dan perlu membayar semula sebanyak RM1.5 juta dalam lima tahun. Namun selepas dua bulan, Lingam perlukan wang segera, jadi dia menjual hutang David kepada Chua dengan harga RM1.3 juta.

Ada kemungkinan Chua pula akan menjual hutang itu kepada Muthu dengan harga lebih rendah. Dalam situasi sekarang, David - peminjam miskin dan tidak cukup syarat; Lingam - syarikat pemberi hutang seperti New Century Financial Corporation; Chua - Lehman Brothers dan lain-lain; Mutu - semua bank yang membeli MBS ini daripada Lehman, Merrill Lynch dan lain-lain.

Apabila David gagal membayar hutang, semua pihak terancam. Ini yang berlaku sekarang. MBS yang mewakili hutang perumahan membayar sejumlah wang yang besar dan kini bergantung kepada bayaran hutang oleh peminjam berisiko, tetapi peminjam gagal membayar dan sebahagiannya diisytiharkan muflis.

Ini yang berlaku kepada Lehman Brothers, syarikat gergasi di Wall Street yang diasaskan oleh Lehman berbangsa Yahudi. Syarikat ini ada 25,000 pekerja di seluruh dunia. Tunjang bisnesnya trading fixed-income assets, penyelidikan dan pengurusan pelaburan.

Syarikat ini runtuh kerana riba, tamak dan sistem jualan hutang riba ‘debt trading’. Mereka melabur dengan besar dalam sijil boleh niaga yang disandarkan kepada US Subprime mortagage market, namun gagal menjual lower rate MBS dari subprime yang dipegangnya.

Dalam suku kedua 2008, Lehman kerugian AS$2.8 bilion, terpaksa menjual aset bernilai AS$6 bilion dan banyak lagi. Akibatnya nilai sahamnya jatuh lebih 95 peratus dan pada 15 September lalu, bank ini memfail bankruptcy chapter 11.

Pada 22 September lalu mereka dibeli sebuah lagi gergasi lain, iaitu Barclays Bank PLC yang mempunyai aset sebanyak AS$ 2.7 trilion (lebih kurang RM9.18 trilion).

Selain itu, akibat masalah pinjaman riba tadi juga menyaksikan kejatuhan gergasi bank iaitu Merrill Lynch yang terpaksa dijual kepada Bank of America dengan harga AS$50 bilion untuk menyelamatkan dirinya.

Selain nama tadi, banyak lagi bank pelaburan gergasi di Wall Street seperti Bear Stearns, Goldman Sachs dan Morgan Stanley terbabit dalam perniagaan sekuriti hutang. Justeru mereka juga kiniberpeluh kerisauan.

No comments: