Hari ini ibu baca kat paper tentang penyelesaian kerajaan malaysia dan indonesia yang mengatakan seorang maid hanya boleh melakukan satu tugas khas sahaja dengan bayaran RM700 sebulan, cuti sehari seminggu dan passport dipegang oleh maid. Dengan erti kata lain, kalau majikan ambil maid untuk menjaga anak, dia tak boleh buat kerja mengemas, memasak dan menjaga orang tua. Apasal tak bagi sekali pakej percutian ke luar negara ditanggung sepenuhnya oleh majikan!
Jika diperhalusi, kita yang bekerja biasa pun buat macam2 kerja. Kalau kerja kerani sekalipun bukan dia buat 1 kerja sahaja...ada yang multitasking tapi gaji banyak tu juga. Kalau pun tukang masak di restoren, dia memang buat kerja memasak jer, tapi memasak dari start masuk kerja sehinggalah habis waktu kerja (assume masuk kol 10am -10pm). Tapi kalau maid yang kerja memasak kat rumah yang hanya menjaga 1 keluarga sahaja, dan tempoh memasak hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja, berbaloikah dengan bayaran RM700? Itupun memasak hanya untuk sarapan pagi dan makan malam. Waktu siang suami isteri dan anak2 tidak ada di rumah, keluar bekerja dan ke sekolah. Di mana logiknya idea penyelesaian isu pembantu rumah ini???
Nampak gayanya CEUPACS dan MTUC kena fight kepada kerajaan untuk memberi elaun pembantu rumah kepada pekerja2. Setahu ibu, selama ini hanya pegawai tinggi sahaja yang mempunyai elaun pembantu rumah sedangkan gaji mereka dah cukup tinggi berbanding pekerja biasa yang lebih memerlukan. Orang kaya sahajakah yang berhak hidup selesa dan tenang di Malaysia ini? TIdak terfiirkah difikiran orang yang membuat keputusan itu tentang nasib rakyat kebanyakan??
Apa2 pun ibu sangat bersimpati kepada nasib rakyat malaysia yang tersepit dan tertekan dengan isu ini. Dan tidak mustahil akan ada isu baru yang akan muncul. Contohnya, akan ada ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai terpaksa meninggalkan anak2 di rumah menjaga diri mereka sendiri kerana tidak mampu membayar kos pembantu rumah, atau pengasuh. Maka akan timbul pulak isu keselamatan anak2 yang terbiar tanpa pengawasan orang dewasa. JIka terjadi sesuatu yang tidak diingini, ibu bapa juga yang akan disalahkan. Salah ibubapakah kerana tidak mampu? Dan jika si ibu mengambil keputusan berhenti kerja, timbul pulak isu kekurangan perbelanjaan menampung kos hidup. Rata2 perempuan sekarang mempunyai tugas dwikerjaya. Cukuplah dengan bebanan dan tekanan yang ditanggung sekarang, jangan timbul lagi isu maid yang memeningkan kepala...takut nanti statistik rakyat malaysia yang mengalami tekanan jiwa meningkat berkali ganda pada masa akan datang.
Walau apapun, diharap isu maid ini akan dikaji semula. Jangan pulak kerajaan mengabaikan kepentingan rakyat sendiri hanya untuk menjaga hati jiran negara sahaja. Kerajaan perlu mempertimbangkan win-win situation bukannya win-loose situation.
Amah buat satu kerja gaji RM700
2012/03/16
JAKARTA: Indonesia mula melatih pembantu rumah untuk dihantar ke Malaysia yang hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah dengan gaji minimum RM700 sebulan.Berdasar peraturan itu, jika seorang pembantu rumah diambil untuk menjadi tukang masak, dia akan hanya menjalankan tugas memasak serta tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengasuh bayi.
Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, berkata ia adalah antara persetujuan yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia, di sini semalam.
Dr Reyna berkata, kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan sebarang masalah seperti yang berlaku pada masa lalu.
Katanya, pada masa ini 12 daripada 176 agensi pekerjaan Indonesia bersedia melatih pembantu rumah berkenaan, manakala lima daripada 221 agensi di Malaysia bersedia menguruskan penempatan mereka dengan majikan di Malaysia.
“Pada masa ini sebahagian besar daripada calon pembantu rumah berkenaan sedang dilatih di Surabaya, Jawa Timur dan di Bekasi, Jawa Barat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia.
Beliau berkata, selepas pengiriman kumpulan pertama 106 pembantu rumah itu, ribuan lagi akan dihantar ke Malaysia dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 orang sebulan.
Setakat ini belum ada pembantu rumah Indonesia dihantar secara rasmi ke Malaysia sejak negara itu menarik balik moratorium pengiriman pembantu rumah ke Malaysia pada 1 Disember tahun lalu. Pembekuan sementara itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.
Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu negara itu oleh majikan Malaysia.
Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006 dengan memperkemaskan peruntukan, terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pekerja dan majikan.
Antara persetujuan yang dicapai adalah kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja kepada agensi pekerjaan. Selain itu, pembantu rumah diberi sehari cuti setiap minggu dan dibenarkan memegang pasport sendiri. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment